Skip to main content

Blog ini ditulis oleh Dana Dumpangol dan Azyani Mursidi, pelatih Youth Environment Living Labs (YELL).

Want to read this blog post in English? Head on over to Part 1: Young Entrepreneurs Driving Change!

Mari dapatkan inspirasi dengan membaca tentang Therapy Lab, perintis kami dalam pembuatan lilin!
Dari Dapur kepada Cahaya Lilin
Menavigasi cabaran-cabaran pembuatan lilin
Aroma Kejayaan

Dari Dapur kepada Cahaya Lilin

“Sebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat sebab di Alor Setar, berdasarkan pemerhatian kami, masih ramai yang membuang minyak masak ke dalam longkang dan sinki.”

Aneira (24) berkongsi pendorongan mereka untuk menubuhkan Therapy Lab.

Salah satu sisa rumah tangga yang sering terlepas pandang adalah minyak masak terpakai, tetapi kerap dibuang dengan cara yang merosakkan alam sekitar – iaitu terus ke dalam longkang. Ini adalah masalah yang diperhatikan oleh tiga usahawan muda, Athirah (23), Aneira (24), dan Rihhadatul’aisy (23) dari kumpulan Therapy Lab di Alor Setar, dan mereka memutuskan untuk mengatasinya. Penyelesaian mereka untuk menangani isu ini adalah dengan memproses semula sisa ini menjadi sesuatu yang berguna dan indah: lilin beraroma.

Rajah 1: Pelbagai jenis lilin bearoma Therapy Lab

©Therapy Lab

Athirah menyatakan bahawa kualiti air di Sungai Kedah yang rendah tidak sesuai untuk disentuh mahupun diminum. Walaupun pembuangan minyak masak terpakai bukanlah penyumbang utama tetapi ianya menyumbang kepada pencemaran tersebut.

Melalui projek mereka, pasukan ini membeli minyak masak terpakai dengan harga RM4/kg daripada tiga pembekal tetap di sekitar kawasan tersebut, serta dari pelajar dan juga pensyarah di universiti mereka, Universiti Antarabangsa Albukhary, berhampiran Taman PKNK, Bandar Alor Setar. Dalam masa lapan bulan, mereka berjaya mengumpulkan dan memproses 160kg minyak masak terpakai dijadikan lilin beraroma yang berbeza saiz, kemudiannya dijual. Daripada hasil jualan ini, mereka berjaya menjana keuntungan kira-kira RM3,000.

Rajah 2: Mengumpulkan minyak masak terpakai daripada pembekal.
©Therapy Lab
Rajah 3: Minyak masak terpakai daripada penjual keropok lekor.
©Therapy Lab

Mengharungi cabaran-cabaran pembuatan lilin

“Dari segi pengeluaran, kami baru sahaja bermula dan permintaan cukup tinggi, tetapi kami tidak mampu untuk menghasilkan dalam jumlah yang banyak kerana kami masih belajar.”

Athirah (23) berkongsi cabaran mereka dalam pengeluaran.

Pasukan Therapy Lab menghadapi cabaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk lilin mereka sambil menyambung pelajaran mereka. Dari segi teknikal, pemilihan lilin yang sesuai sebagai antara salah satu bahan mentah, adalah penting untuk mencipta lilin beraroma yang berkualiti tinggi. Seperti yang dinyatakan oleh Aneira, “Kadang ada supplier yang tak boleh supply quality yang ngam”. Mencari lilin yang sesuai dan memastikan bekalan yang berterusan merupakan cabaran yang besar. Menghasilkan lilin berkualiti dan memenuhi permintaan merupakan proses ‘trial and error‘ kerana beberapa elemen yang diperlukan mungkin tidak konsisten untuk setiap turutan – dari segi kekurangan bekas lilin sehingga kualiti pewarna yang digunakan yang boleh mempengaruhi reka bentuk. 

Namun, halangan terbesar mereka adalah kekurangan tenaga kerja untuk membantu dalam pemprosesan. Mereka menyedari keperluan untuk menambah ahli pasukan mereka maka merancang untuk mengadakan bengkel bagi rakan pelajar – mengajar proses membuat lilin sambil juga menarik bantuan mereka dalam proses tersebut. Setiap pelajar dibayar RM20 setiap tiga jam mereka membantu Therapy Lab.

“Kita nak memperluas perniagaan sosial kita dan meningkatkan jumlah penerima manfaat.”

Athirah (23) tentang harapannya untuk perniagaan sosial mereka.

Melihat ke hadapan, Athirah berkongsi harapan dan aspirasi mereka dalam usaha membuat lilin pada masa depan. Dia menyatakan keinginan mereka untuk memasarkan lilin mereka, terutamanya lilin beraroma, ke negara-negara Eropah, di mana terdapat minat terhadap produk unik ini. Matlamat mereka adalah untuk memperluas perniagaan sosial mereka dan menyediakan peluang pekerjaan ataupun pendapatan sampingan kepada ibu tunggal dan penerima manfaat dari keluarga berpendapatan rendah.

Athirah juga berkongsi harapan yang ikhlas untuk masa depan: “Saya berharap suatu hari nanti, setiap isi rumah tahu bagaimana menguruskan minyak masak terpakai dengan betul dan sedar bahawa sisa ini boleh dikitar semula. Jadi, sebalik daripada membuang, mereka boleh menghasilkan pendapatan sampingan daripada minyak masak ini.” Ini akan membolehkan orang mengubah sisa yang dulunya dibuang menjadi sumber pendapatan. Ini adalah visi kehidupan mampan dan pemberdayaan, di mana proses pembuatan lilin mereka mencetuskan perubahan positif dalam masyarakat.

Aroma Kejayaan

Ikuti perkembangan terkini di laman Instagram mereka, @therapylab_, atau melalui Linktree mereka untuk mengikuti perjalanan mereka melangkah ke arah kejayaan, melalui setiap satu lilin!

Terima kasih kepada Therapy Lab kerana perkongsikan pengalaman dan pandangan tentang projek mereka!

Kiri ke kanan: Nur Athirah Binti Zul Fikar Ali, Nur Rihhadatul’aisy binti Jasmi and Nur Aneira Safiah Binti Azam

©Therapy Lab

Nantikan Bahagian 2: Usahawan Muda Memacu Perubahan untuk membaca lebih lanjut mengenai penyelesaian tempatan yang menginspirasikan!


Program Social Entrepreneurship Rural Youth (SERY):

SERY merupakan program ‘Start-up’ selama enam bulan yang menyasarkan golongan muda luar bandar dalam keusahawanan sosial sebagai sumber mata pencarian dan pembangunan masyarakat. Melalui program ini, YELL telah membiayai projek pelbagai seperti menguruskan pembaziran, pemeliharaan tanah komuniti dan pendidikan masyarakat tentang amalan mampan.

Leave a Reply