Blog ini ditulis oleh Dana Dumpangol, pelatih Youth Environment Living Labs (YELL).
Want to read this blog post in English? Head over to Part 2: Young Entrepreneurs Driving Change!
Jika anda sukakan perubahan positif, jom baca lebih lanjut di sini! Daripada Sisa Pisang kepada Eko-Keajaiban Tabah melalui cabaran Inspirasi Aspirasi |
Daripada Sisa Pisang kepada Eko-Keajaiban


Rajah 1: Sisa pisang yang dikumpulkan oleh Borneo Fertilyst (Kiri) dan D’ Banana Craft (Kanan)
“Ada banyak faktor yang mendorong – dari segi income, dari segi peluang yang ada kerana raw material dia sangat senang dan boleh dikatakan free…”
Fazly (28) mengenai memulakan perniagaan sosial mereka
Di mana sisa pertanian menjadi isu yang mendesak, kami bertemu dengan Borneo Fertilyst dan D’ Banana Craft, yang mengambil cabaran mengurangkan sisa buah pisang, masing-masing dengan pendekatan unik mereka sendiri.
Tiga adik-beradik dari Tuaran, Sabah, iaitu Fazly (28), Fauzi (23), dan Fahmi (19) , bukanlah orang asing dengan isu pembuangan sisa penanaman pokok pisang ke dalam longkang ataupun membakarnya. Mereka mengambil peluang untuk memproses sisa buah pisang menjadi sesuatu yang bernilai dan boleh memberi manfaat kepada alam sekitar, komuniti dan perniagaan tempatan.
Fazly, yang bekerja dalam industri perhotelan, melihat pengangguran yang berlaku dalam komunitinya akibat pandemik COVID-19. Walaupun ramai yang menganggur, keluarga mereka memiliki ladang pisang dan Fazly menyedari, “ladang buah pisang boleh digunakan lebih daripada hanya memetik dan menjual buah”.
Selepas melakukan penyelidikan lanjut, ketiga-tiga beradik menubuhkan D’ Banana Craft. Projek ini bertujuan untuk mengubah sisa buah pisang menjadi produk pembungkusan kertas seperti kotak dan juga kraf tangan. Prototaip pembungkusan tempatan yang dihasilkan ini mendapat sambutan baik dari komuniti dan mendapat sokongan daripada perniaga tempatan yang perlu membayar kos lebih tinggi apabila mengimport produk pembungkusan luar negara.

© D’ Banana Craft

© D’ Banana Craft
“Kami start dengan rancangan yang berjangka pendek dulu. Dari rancangan jangka pendek ke jangka panjang”
Bella (31) mengenai memulakan perniagaan sosial mereka
Di seberang Sabah, Kota Marudu, Bella (31) mempunyai idea yang serupa. Ketika berjalan melalui pasar tempatan, dia melihat banyak pembaziran kulit pisang yang dibuang oleh peniaga pisang goreng, dan memberi inspirasi untuk memulakan Borneo Fertilyst. Bella dan ahli pasukannya, Ayu (21) dan Hasrimie (27), mengambil peluang untuk menghasilkan baja organik daripada kulit pisang yang dikumpulkan daripada peniaga pisang goreng. Dalam tempoh 3 bulan, mereka mengumpulkan 900kg kulit pisang dan mengubahkannya menjadi 360 liter baja cecair yang dipasaran sebagai Microbella, dan 600kg bokashi organik yang dipasarkan sebagai Bokashi Bella Tech.
Selain daripada produk mereka, Bella dan pasukannya berhasrat untuk memperkenalkan pertanian organik kepada komuniti tempatan. Banyak orang muda di daerah pedalaman seperti Kota Marudu sering meninggalkan kampung untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di kawasan bandar. Dengan itu, Bella dan pasukannya mengadakan bengkel untuk meningkatkan pengetahuan dan membina keupayaan di kalangan penduduk tempatan yang berhasrat untuk memulakan perniagaan baja organik mereka sendiri. Bella berharap ini akan memberi dorongan kepada mereka untuk kekal di Kota Marudu dan berkembang dalam komuniti mereka. Sehingga kini, Borneo Fertilyst telah berjaya memberi pekerjaan kepada 5 individu dalam komunitinya, yang terdiri daripada golongan ibu tunggal dan orang muda daripada keluarga berpendapatan rendah.
Tabah melalui cabaran

© Borneo Fertilyst

© Borneo Fertilyst
“Cabaran kami sekarang ialah kami tidak mempunyai kenderaan untuk pergi menjalankan projek, dan juga untuk mengambil batang pisang… kerana kebun pisang menjadi sangat berlumpur pada musim hujan.”
Fauzi (23) berkongsi tentang cabaran mereka dengan pengangkutan.
Kedua-dua D’ Banana Craft dan Borneo Fertilyst telah memberikan penyelesaian kepada isu sosial dan alam sekitar, tetapi perjalanan mereka tidak terlepas dari cabaran. Menurut Fazly dari D’Banana Craft, “kurangnya pelancong disebabkan oleh pandemik telah mengakibatkan kurang orang membeli hasil kraftangan kami“. Tambahan lagi, adik-beradiknya menyatakan bahawa mereka menghadapi kesukaran pengangkutan dan kesukaran mengeringkan sisa buah pisang semasa musim monsun. Begitu juga, Bella dan pasukannya di Borneo Fertilyst menghadapi cabaran semasa musim monsun dan banjir yang merosakkan baja pepejal mereka.
Inspirasi untuk mengambil tindakan
Walaupun menghadapi cabaran, Borneo Fertalyst muncul sebagai pemenang tempat pertama, manakala D’Banana Craft ialah pemenang hadiah saguhati bagi program Social Entrepreneurship Rural Youths (SERY) yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Borneo Fertilyst dan D’ Banana Craft bukan sahaja berusaha memberi impak positif dalam komuniti mereka, tetapi juga bertujuan untuk meluaskan jangkauan dan meningkatkan kualiti produk mereka. Bella menyatakan aspirasi mereka untuk pertumbuhan dan kejayaan organisasi. Mereka berharap dapat memberi peluang pekerjaan kepada komuniti dan meningkatkan kesedaran tentang pertanian organik. Melalui bengkel dengan komuniti Kota Marudu, matlamat mereka adalah untuk membuka potensi pendekatan ekonomi pekeliling bagi sisa pertanian dalam setiap kampung, memberi kekuatan kepada individu untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Fazly menyatakan cabaran yang mereka hadapi dari segi kualiti produk, kos, dan peralatan. Mereka menyuarakan keperluan sokongan melalui latihan dan kursus untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka. Fazly berharap produk mereka dapat memasuki pasaran tempatan dalam masa dua tahun dan mungkin menarik pelabur. Mereka mempunyai visi jangka panjang untuk mencapai pengeluaran secara besar-besaran tetapi sedar akan implikasi kewangan dalam memperoleh jentera yang mahal.
“Sebab itu kami harap sangat kita punya usaha untuk masuk kampung bagi pendedahan kepada belia untuk attract diorang kembali kepada pertanian”
Bella (31) mengenai menggalakkan belia

Rajah 6: Pasukan Borneo Fertilyst: Pemenang SERY, meraih hadiah pertama.
© Borneo Fertilyst
Rajah 7: Fazly menunjukkan YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, salah satu produk pembungkusan mereka.
© D’ Banana Craft

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila lawati laman Facebook Borneo Fertilyst atau hubungi D’ Banana Craft di +017 833 0626. Dengan menyokong usahawan yang bersemangat ini, kita semua dapat menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari dan adil.
Terima kasih kepada Borneo Fertilyst dan D’ Banana Craft kerana menceritakan kisah mereka!

Kiri ke kanan: Siti Subailah Binti Suod, Hasrimie Bin Zamri and Siti Nur Syatia binti Hajat@Suod
© Borneo Fertilyst
Kiri ke kanan: Adam Fahmi bin Gordah, Fazly bin Gordah and Fauzi bin Gordah
© D’ Banana Craft

Adakah anda mendapati bacaan ini menarik? Lebih banyak cerita lokal yang akan datang dalam Bahagian 3: Usahawan Belia Memacu Perubahan!
Program Social Entrepreneurship Rural Youth (SERY):
SERY merupakan program ‘Start-up’ selama enam bulan yang menyasarkan golongan muda luar bandar dalam keusahawanan sosial sebagai sumber mata pencarian dan pembangunan masyarakat. Melalui program ini, YELL telah membiayai projek pelbagai seperti menguruskan pembaziran, pemeliharaan tanah komuniti dan pendidikan masyarakat tentang amalan mampan.