Skip to main content

Blog ini ditulis oleh Azyani Mursidi, pelatih Youth Environment Living Labs (YELL).

Want to read this blog post in English? Head over to Part 3: Young Entrepreneurs Driving Change!

Lihatlah pengembaraan Maestro dan Perimba!
Inspirasi & Ilham
Darah, Peluh dan Air Mata
Bagaimana saya boleh bantu?

“Kami ingin menangani masalah paling kritikal di kampung halaman kami iaitu sisa, dan terutamanya sisa dapur kerana tiada siapa yang menumpukan perhatian kepada itu”

Malini (27) tentang bagaimana Maestro ditubuhkan.
Rajah 1: Contoh sisa dapur yang dikutip oleh Maestro.
© Maestro
Rajah 2: Kompos mentah, “Emas Hitam” (sebelum dibentuk menjadi bar bentuk syiling)
© Maestro

Inspirasi & Ilham

Jamuna (27), diinspirasi oleh ibunya dan melihat peningkatan dalam berkebun sebagai hobi di kampung halamannya di Mentakab, Pahang menyedari bahawa baja organik adalah terhad dan sisa dapur semakin ketara. Secara purata, jumlah isi rumah Malaysia menghasilkan 16,650 tan sisa makanan setiap hari.

Mengetahui perkara ini, Maestro menjalankan kajian ringkas di Mentakab mengenai kesedaran masyarakat mengenai pelupusan alternatif sisa dapur dan 65% menjawab dengan “tidak sedar”. Kekurangan kesedaran dalam komuniti ini ditambah dengan kekurangan baja mesra pemula mendorong mereka untuk mencipta baja pelepasan terkawal berbentuk syiling. Sifat pelepasan ini memudahkan pengguna untuk menggunakannya tanpa perlu bersusah payah.

Jamuna berkata “Kami boleh membantu mereka (masyarakat) membuat kompos mereka sendiri – ianya bersifat semula jadi, mesra alam, mengurangkan kos dan boleh menjadi perniagaan untuk kami.” Terdapat hubungan antara sisa makanan dan keperluan baja organik dalam masyarakat, oleh itu Maestro ditubuhkan.

“Pembalakan haram terumatanya di kawasan luar bandar yang kini memang sangat teruk”

Zamre (29) mengenai kejadian pembalakan haram berhampiran kampungnya di Jalan Pasai, Sibu.

Di Sibu, Sarawak, Zaidi (24), Zamre (29) dan Bryan (23) mengambil langkah sendiri untuk melindungi tanah adat mereka daripada pembalakan haram dengan menubuhkan Perimba. Projek ini memberi tumpuan kepada membangunkan bahagian hutan menjadi tarikan perkhemahan bagi mengelakkan ancaman pencerobohan haram ke dalam tanah adat mereka.

Dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam melindungi hutan mereka, mereka ingin menyediakan peluang mencari sumber rezeki dan menambah kapasiti serta kemahiran kepada golongan muda melalui projek pelancongan berasaskan komuniti.

Didorong oleh minat mereka terhadap aktiviti intensif sejak zaman kanak-kanak dan kekurangan aktiviti-aktiviti lasak di Sibu, mereka melindungi hutan mereka dengan memperkenalkan aktiviti yang mereka gemari seperti mendaki, meredah hutan dan memancing rekreasi.

Darah, Peluh dan Air Mata

Maestro menghadapi banyak cabaran sepanjang projek mereka. Pertama sekali, dengan ahli kumpulan berada di lokasi yang berbeza di Malaysia, ini menyukarkan kumpulan Maestro untuk menyelaras projek, hal ini menjadikan perjalanan jarak jauh dan kesuntukan masa sebagai cabaran, “seperti hubungan jarak jauh” kata Jamuna. Tambahan pula, pada mulanya mereka ingin mendapatkan mesin pelet, namun disebabkan kekurangan mesin dan kos tinggi, bentuk syiling telah dipilih selepas banyak percubaan.

Beberapa isi rumah yang membekalkan sisa dapur juga menyukarkan projek mereka kerana ada yang bimbang ia akan digunakan dengan sia-sia. Beberapa penyumbang juga mahukan sejenis pampasan – Maestro menyediakan ganjaran dalam bentuk barangan berkebun setiap 1 kg sisa yang didermakan.

Walaupun menghadapi cabaran, Maestro dapat mengumpul 50 kg sisa dapur dari 15 rumah di tiga kawasan perumahan. Maestro berjaya mendapatkan memorandum persefahaman (MoU) dengan SWCorp, justeru 102 kg brown waste yang terdiri daripada ranting dan daun kering dibekalkan daripada SWCorp Temerloh dalam tempoh enam bulan.

Untuk lebih mendidik masyarakat, bengkel “Garbage To Green” telah dianjurkan untuk membantu mereka yang memerlukan bimbingan dalam menggunakan sisa dapur mereka. Walaupun bengkel ini banyak menarik peserta yang lebih tua, Maestro berhasrat untuk mendekati golongan muda dengan pergi ke kolej vokasional.

“Biasanya, langkah pertama akan sentiasa menjadi langkah yang paling sukar tetapi apabila kita (mengambil langkah pertama), kita boleh mendaki segala-galanya.”

Shan dalam perjalanan keusahawanan sosial mereka.

Dalam tempoh lima tahun, Maestro berharap masyarakat dapat menikmati makanan bebas racun perosak, dan operasi mereka boleh berskala untuk menampung sisa dapur dari restoran, serbuk kopi dari kafe dan sisa sayuran dari pasar pagi.

Mereka juga menyatakan bahawa mereka ingin mengkomersialkan produk mereka ke pasaran yang lebih besar seperti meletakkannya di rak kedai rangkaian perkakasan.

“Dari mula program lagi (ada) musim tengkujuh, kami nak progress pun susah. Kami terpaksa cari insentif lain, tengok saja cuaca okay, kami akan datang.”

Zamre atas salah satu cabaran terbesar mereka ketika menjalani projek.

Pada November dan Disember 2022, musim tengkujuh melanda Perimba dan pintu masuk tapak perkhemahan mengalami banjir. Membersihkan laluan masuk dan tapak perkhemahan daripada pokok tumbang berbahaya menjadi melecehkan selepas setiap cuaca buruk.

Rajah 3: Jalan masuk mengalami banjir akibat Monsun
© Perimba
Rajah 4: Sebatang pokok tumbang di tapak perkhemahan selepas hujan lebat
© Perimba

Walaupun terdapat halangan, pelanggan dapat menikmati penginapan mereka – ada yang mencadangkan menambah lebih banyak aktiviti, mengembangkan kawasan supaya lebih ramai boleh datang dan memaklum bahawa pemandangan yang baik adalah penting. Zamre juga berhasrat untuk membuka homestay di kampung untuk menempatkan lebih ramai pelancong dan memudahkan akses masuk ke dalam hutan pada masa hadapan.

Matlamat 5 tahun mereka adalah untuk memulakan aktiviti penghutanan semula di kawasan tersebut mengikut spesies pokok yang sesuai untuk memulihkan tanah yang terdegradasi. Terdapat juga hasrat untuk bekerjasama dengan agensi perlindungan hutan dan institusi akademik yang berkaitan untuk melakukan penyelidikan komprehensif mengenai strategi penghutanan semula yang mampan. Akhir sekali, Perimba berhasrat untuk mengusahakan kebun pisang dan cili di kawasan itu supaya mereka tidak hanya bergantung kepada tapak perkhemahan itu sendiri sebagai satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Rajah 5: Zaidi (Kiri) dan Jepai (Kanan) dengan hasil tangkapan ikan mereka, berhampiran dengan tapak perkhemahan.

© Perimba

Bagaimana saya boleh bantu?

Jika anda diinspirasi dengan kisah Maestro dan Perimba, ketahui aktiviti yang telah dijalankan oleh Maestro di Instagram @garbagetogreen. Jika anda tinggal berhampiran Mentakab, Pahang, lihat jika anda juga boleh menderma sisa dapur anda! Ingin mengadakan aktiviti perkhemahan di Sibu, cuba lawati Perimba dengan menghubungi mereka di zaidieenteri@gmail.com!

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ahli projek kerana menceritakan kisah mereka dan berkongsi foto mereka!

Kiri ke kanan: Heram Vijayan, Jamuna Ranggarajoo, Malini R Tamil Salvn and Presant Sathasivam

© Maestro

Kiri ke kanan: Zaidi Anak Enteri, Bryan Marcos Kedu Anak Kenny, Zamre Anak Enteri

© Perimba

Baca lebih lanjut di sini untuk Bahagian 1 dan Bahagian 2: Usahawan Belia Memacu Perubahan!


Program Social Entrepreneurship Rural Youth (SERY):

SERY merupakan program ‘Start-up’ selama enam bulan yang menyasarkan golongan muda luar bandar dalam keusahawanan sosial sebagai sumber mata pencarian dan pembangunan masyarakat. Melalui program ini, YELL telah membiayai projek pelbagai seperti menguruskan pembaziran, pemeliharaan tanah komuniti dan pendidikan masyarakat tentang amalan mampan.

Leave a Reply