Youth Environment Living Labs mengalu-alukan perkongsian baru dengan Kesatuan Eropah

EU menyokong program bersama di antara UNDP dan UNICEF Malaysia dalam memajukan tindakan iklim dan alam sekitar yang diterajui anak muda

KUALA LUMPUR, 8 April 2024 — UNDP Malaysia, Singapura & Brunei Darussalam dan UNICEF Malaysia mengumumkan perkongsian baru hari ini dengan Kesatuan Eropah membiaya Youth Environment Living Labs (YELL) untuk meluaskan jangkauan dan impak aktiviti YELL.

Sebagai program bersama di antara UNDP Malaysia, Singapura & Brunei Darussalam dan UNICEF Malaysia, dengan kerjasama Amanah Lestari Alam (ALAM) dan Kesatuan Eropah (EU), YELL merupakan sebuah platform untuk mencipta peluang untuk anak muda di Malaysia memainkan peranan berkesan dalam tindakan berkaitan isu iklim dan alam sekitar.

YELL dengan EU di Malaysia bekerjasama untuk Dialog Aspirasi Belia COP28, yang diadakan pada Oktober 2023. Kredit gambar: YELL/2023/Anusha

YELL bertujuan untuk menempatkan naratif iklim dan menekankan perspektif tempatan dan peribumi tentang alam semula jadi dan alam sekitar agar ia lebih relevan dan menarik minat anak muda di Malaysia, dan menguatkan ekosistem pelaku untuk menyokong dan memberi ruang untuk anak muda terlibat sebagai ejen perubahan dalam polisi dan tindakan alam sekitar.

T.Y.T. Tuan Michalis Rokas, Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia berkata, “Peranan anak muda dalam tindakan iklim adalah teras kepada tindakan luaran EU. Merekalah penggerak untuk masa depan yang mampan dan tindakan mereka adalah kunci untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals). EU berbesar hati untuk menyokong projek YELL dan bekerjasama dengan UNDP, UNICEF dan ALAM. Melalui usaha sama dalam inisiatif yang diterajui anak muda ini, EU dan Negara-Negara Anggotanya beriltizam untuk menyediakan peluang dan kemahiran yang diperlukan untuk anak muda. Ia akan membolehkan mereka bertindak secara konkrit sebagai ejen perubahan, usahawan dan inovator untuk mempercepat tindakan iklim dalam komuniti setempat mereka dan memastikan tiada yang ketinggalan.

Sokongan daripada EU akan menyediakan sumber penting untuk program YELL akan datang, termasuk ‘Program Conservocation’. Inisiatif pengalaman kerja ini akan menghubungkan 20 orang anak muda Malaysia pada tahun 2024 dengan organisasi alam sekitar tempatan selama 6 bulan, menawarkan peluang pembelajaran yang berharga melalui pementoran, dan pengalaman membayangi kerja (work-shadowing).

Datuk Ali Tan Sri Abdul Kadir, Pengerusi ALAM, menyatakan keyakinannya tentang kesan positif perkongsian ini, “ALAM berbangga dalam memperjuangkan pemerkasaan anak muda untuk menangani perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, dan cabaran alam sekitar melalui kerjasama berterusannya di YELL dengan UNDP dan UNICEF sejak 2022. ALAM teruja dengan perkongsian baharunya dengan EU, yang menekankan kepentingan YELL dalam menggalakkan tindakan iklim tempatan dalam kalangan anak muda di seluruh Malaysia. Kami menjangkakan bahawa kerjasama ini akan meluaskan lagi program ini sehingga mencapai ke akar umbi, termasuk komuniti terpencil dan peribumi.

YELL akan melancarkan program Geran Benih, yang merupakan antara satu program flagship (kemegahan), lewat tahun ini. Geran Benih ini, yang menyediakan pembiayaan sehingga RM100,000 untuk setiap projek, dijangka akan menyokong idea inovatif dan projek-projek perintis untuk melibatkan lebih ramai lagi anak muda dalam tindakan iklim.

Perkongsian yang diperluaskan ini melambangkan satu langkah penting dalam usaha sama kami untuk memerangi perubahan iklim dan melindungi bumi kita untuk generasi yang akan datang. Dalam memanfaatkan sokongan daripada EU, kami berniat untuk memberi inspirasi, mendidik, dan memperkasakan anak muda Malaysia melalui YELL untuk menjadi ejen perubahan yang aktif dalam komuniti mereka,” kata Niloy Banerjee, Wakil Residen untuk UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Perubahan iklim memberi kesan kepada semua kanak-kanak. Adalah menjadi tugas kami untuk memudahkan penglibatan dan penyertaan aktif kanak-kanak dan anak muda dalam membentuk penyelesaian. UNICEF berbangga menjadi rakan kongsi YELL, di mana anak muda menyumbang kepada tindakan iklim, meninggikan suara, dan memupuk rasa tanggungjawab untuk mewujudkan dunia yang selamat dan mampan,” kata Robert Gass, Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam.

Sejak pelancarannya pada 2022, YELL telah memperkasakan anak muda secara langsung melalui pembiayaan 15 projek yang diterajui anak muda, dan mencapai hampir 850,000 orang melalui komunikasi peningkat kesedaran, sambil terus memupuk dialog antara anak muda Malaysia dan pembuat keputusan. Program perintis pengalaman kerja YELL telah membantu 7 orang anak muda untuk menimba pengalaman, kemahiran dan pendedahan dalam sektor pemulihan dan kemampanan.