YELL #BumiBelia Stories

Sabak Bernam, khazanah alam

By: Yasmeen Binti Zulhakim

Sebanyak manakah keistimewaan Malaysia? Setinggi manakah pelancong luar negara memandang tanahnya ketika mereka bertandang? Alam semulajadi Malaysia adalah layak untuk dibanggakan. Sebagai anak jati Sabak Bernam, tempat kelahiran saya menyimpan khazanah alam yang mengandungi nostalgia. Ketika era dunia digital semakin menghampiri, saya berharap saya mampu mengambil foto-foto seperti ini pada masa hadapan.

Kampung Sungai Limau. Bendang merupakan panaroma indah dianugerahkan tuhan kepada penduduknya. Bukan setakat menjadi lubuk pendapatan petani dan sumber makanan ruji, hamparan hijau terbentang ini menjadi manisan di mata, menghilangkan kekusutan minda. Justeru itu, berjalan-jalan sambil menyaksikan petani mengerjakan sawah padi merupakan aktiviti lazim buat saya sekeluarga.

Suasana indah ini bertukar apabila musim menuai menjenguk. Hijau lembut bertukar warna, kilauan emas gah berdiri bawah pancaran matahari. Saya sentiasa memastikan diri untuk menjenguk ke luar tingkap, memerhatikan mesin gergasi bergerak perlahan dalam lautan emas. Mungkin terkesan dengan kesungguhan petani-petani mengayun sabit, terdetik seketika kesyukuran buat mereka gembira titik peluh akhirnya membuahkan hasil.