Soalan panas... terjawab
Bukankah perubahan iklim itu masalah untuk masa depan yang masih jauh dari sekarang?
Tidak. Selama beberapa generasi, kita telah menganggap bahawa krisis alam sekitar ialah ‘masa depan yang jauh’. Kini, ‘masa depan’ itu ialah masa kini. Anda pernah mendengar tentang banjir besar dan tanah runtuh di Malaysia, Indonesia dan Thailand serta taufan yang dahsyat di Filipina dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Semua ini boleh dijejak kembali kepada perubahan iklim.
Menurut Tinjauan Perubahan Iklim Belia Kebangsaan Malaysia pada 2020 oleh UNDP dan UNICEF dengan sokongan EcoKnights, sembilan daripada 10 orang belia Malaysia telah mengalami kesan kemusnahan alam sekitar dan perubahan iklim dalam tempoh tiga tahun yang lalu. Ini termasuk jerebu, pencemaran air, banjir dan kemarau.
Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) telah memberi amaran bahawa dunia hanya mempunyai masa sehingga 2030 untuk menetapkan peningkatan suhu dalam julat 1.5°C. Jika tidak, terdapat risiko kritikal kekurangan makanan global, tekanan air, haba melampau dan bencana alam antara lain (seolah-olah itu tidak cukup mengerikan!).
Kami ialah generasi terakhir yang boleh menyelamatkan “rumah” kami daripada krisis iklim buatan manusia. Sekarang ialah masanya untuk bertindak!
Alamak! Tetapi saya hanya seorang anak muda. Bagaimana saya boleh bantu menangani isu yang begitu besar?
Amat normal untuk berasa kecil. Krisis alam sekitar ialah satu isu raksasa. Ada sesetengah individu yang berpendapat bahawa tindakan individu tidak membawa makna. Hakikatnya, kebanyakan pelepasan gas rumah hijau dunia datang daripada syarikat besar. Ini benar. Syarikat mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi isu ini, tetapi kita sebagai pengguna tidak terlepas daripada masalah ini. Kita juga membayar untuk produk dan perkhidmatan syarikat-syarikat ini.
Hakikatnya, tindakan individu amat penting. Secara kolektif, kita boleh mencetuskan gelombang perubahan! Tinjauan Perubahan Iklim Belia Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 orang belia di Malaysia sudah mengambil tindakan peribadi untuk menangani perubahan iklim, termasuk mengitar semula, menanam pokok, mengurangkan penggunaan elektrik, dan beralih kepada pemakanan berasaskan tumbuhan.
Usah pandang rendah akan tindakan ini. Melalui kepimpinan melalui teladan, anda secara beransur-ansur boleh menggalakkan keluarga dan rakan anda untuk mengamalkan tabiat hijau yang serupa. Mereka pula boleh mempengaruhi orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Dengan masa, bayangkan kesan riak daripada tindakan peribadi anda!
Anda juga boleh memberi sumbangan tambahan dengan menjadi sukarelawan atau dengan bekerja untuk organisasi alam sekitar. Hubungilah pemimpin belia alam sekitar yang lain untuk belajar daripada mereka dan dedahkan diri anda kepada lebih banyak peluang dalam bidang ini. Berikanlah bantuan untuk mengurangkan kebimbangan iklim. Anda ingin mencari mereka? Mulakan dengan direktori organisasi alam sekitar YELL dan pemimpin belia alam sekitar!
Saya belum 100% hijau lagi. Adakah saya akan menjadi hipokrit untuk melibatkan diri dalam kerja alam sekitar?
Melakukan perkara yang anda boleh lakukan adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa sama sekali. Tiada sesiapa pun yang benar-benar mesra alam, termasuklah ahli alam sekitar yang berpengalaman.
Namun, setiap langkah yang anda lakukan dan cabaran yang anda hadapi dalam mengurangkan jejak karbon membolehkan anda membina pemahaman tentang realiti kerja alam sekitar dan masalah yang perlu diselesaikan. Penyertaan dalam program alam sekitar juga dapat membimbing anda tentang cara untuk melakukan lebih banyak lagi, dengan berkesan!
Tetapi bagaimana orang muda boleh membuat perubahan? Kami tidak dibenarkan bersuara dalam memutuskan dasar negara atau penyelesaian alam sekitar.
Sedih tetapi benar. Golongan muda sebahagian besarnya dikecualikan daripada perbualan mengenai dasar dan penyelesaian iklim. Kanak-kanak juga sering diletakkan sebagai mangsa perubahan iklim, bukan sebagai pihak berkepentingan yang mempunyai tempat di meja membuat keputusan.
Namun begitu, belia mempunyai potensi untuk memberi impak yang besar. Di Malaysia, belia menyumbang 43% daripada populasi negara. Mereka ialah generasi yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim. Ini bermaksud mereka berhak menjadi suara lantang bagi memerangi perubahan iklim.
Sejak 2018, aktivis remaja terkenal dunia Greta Thunberg telah menunjukkan contoh bahawa golongan muda boleh membawa momentum yang kuat untuk memberi tekanan terhadap tindakan iklim. Bantahan beliau di hadapan parlimen Sweden telah berkembang menjadi Mogok Iklim Global yang melibatkan berjuta-juta individu.
Malah, pada 2019, Thunberg yang berusia 16 tahun telah mengecam pemimpin dunia pada sidang kemuncak iklim PBB kerana gagal menangani pelepasan gas rumah hijau. Ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk bercakap benar kepada penguasa.
Yang sering kita dengari ialah Greta Thunberg. Latar belakang bandar Eropahnya kelihatan sangat berbeza dengan saya. Adakah tindakan alam sekitar lebih tertumpu kepada orang Barat?
Tidak sama sekali! Terdapat ramai wira alam sekitar muda dari Asia Tenggara. Walaupun mereka mungkin tidak begitu diiktiraf di peringkat antarabangsa, namun mereka telah mencapai kemajuan yang mengagumkan dalam perjuangan mereka.
Salah seorang daripada mereka ialah Aroe Ajoeni, pengasas bersama Klima Action Malaysia (KAMY). Beliau mengadakan protes alam sekitar di hadapan kolejnya walaupun telah diberi amaran daripada pihak institusinya supaya berhenti. Beliau seterusnya membantu menerajui Mogok Iklim Global di Malaysia.
Sahana Kaur hanya seorang pelajar Malaysia yang berusia 17 tahun. Namun beliau telah mengasaskan Project All for All bagi memperkasa golongan muda untuk mengambil bahagian dalam penglibatan sivik dan memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Usaha beliau telah mencapai lebih 5,000 orang di seluruh dunia.
Mogesh Sababathy, seorang graduan biologi marin, mengasaskan bersama NGO pemuliharaan lautan Project Ocean Hope yang telah mencapai lebih 10,000 orang di 15 negara. Mitzi Jonelle Tan, jurucakap antarabangsa bagi Peguambela Belia untuk Tindakan Iklim Filipina, menganjurkan beberapa protes walaupun terdapat risiko besar untuk menjadi pembela hak alam sekitar di Filipina—seramai 29 orang telah terbunuh pada 2020.
Anda boleh membaca komik perjalanan dua orang pemimpin belia tempatan dan lebih banyak kisah dalam direktori YELL.
Baiklah, saya mahu mengambil tindakan, tetapi saya keseorangan. Bagaimana saya boleh mengenali individu lain dalam kerja alam sekitar?
Anda tidak bersendirian! Ramai ahli alam sekitar muda di Malaysia mengaku bahawa mereka juga berasa terasing pada permulaannya. Namun, mereka memberi kredit kepada media sosial untuk berhubung dengan individu yang berfikiran dan mempunyai minat yang sama.
Senarai pemimpin belia tempatan dan organisasi alam sekitar di dalam direktori YELL boleh menjadi permulaan yang baik. Baca kisah mereka, ikuti halaman media sosial mereka, dan mulakan satu atau dua perbualan bersama mereka. Tetapi ingat! Pastikan perbualan itu ringkas dan sopan tidak kira betapa bersemangatnya anda.
Adakah saya perlu mengangkat sepanduk dan membuat bantahan? Saya tidak mahu membuat tindakan seperti ini.
Tidak, terdapat lebih daripada satu cara untuk mengambil tindakan. Ada masa terluang? Anda boleh menjadi sukarelawan untuk kumpulan alam sekitar tempatan (ini senarainya). Adakah anda seorang yang artistik dan mahir media sosial? Rekalah sebuah siaran media sosial yang menarik tentang isu alam sekitar (cuma pastikan rujukan anda boleh dipercayai dan anda memberi kredit kepada sumber asal).
Adakah terdapat geran yang boleh diakses? Jalankan penyelidikan. Terdapat ruang yang tidak digunakan? Tuntut ruang itu semula untuk menanam pokok. Bijak berkata-kata? Tulislah kepada kerajaan tempatan anda atau mulakan petisyen untuk mencadangkan perubahan dasar. Langit ialah hadnya!
Saya mahu bekerja sepenuh masa dalam bidang kerja alam sekitar. Apakah laluan yang boleh saya ikuti?
Bagus! Terdapat keperluan terdesak untuk pakar alam sekitar dalam organisasi bukan berasaskan keuntungan, perusahaan sosial, kerajaan, syarikat dan juga institusi akademik. Anda boleh meneroka program dan bidang yang difokuskan oleh NGO tempatan dan perusahaan sosial dalam direktori kami.
Selain itu, perancang bandar, saintis makanan, pakar undang-undang dan pakar dasar alam sekitar, saintis alam sekitar, jurutera alam sekitar, saintis pemuliharaan, perhutanan dan biokimia semuanya memainkan peranan utama dalam perlumbaan ke arah mengurus dan mengurangkan kesan perubahan iklim dalam kerajaan, akademia dan firma pakar runding.
Sektor swasta juga menggandakan kemampanan kerana pelabur semakin berminat dengan perniagaan yang lestari. Jadi, pakar kemampanan dalam bidang korporat juga boleh menjana pendapatan yang lumayan.
Sebagai contoh, menurut sebuah rencana baru-baru ini di portal pekerjaan Jobstreet.com, gaji bulanan seorang pengurus kemampanan untuk syarikat pemegang pelaburan di Kuala Lumpur ialah RM6,000 sehingga RM10,000, manakala pakar alam sekitar untuk sebuah syarikat perkakasan komputer multinasional boleh memperoleh pendapatan antara RM6,000 sehingga RM8,000 sebulan.
Adakah saya memerlukan latar belakang pengajian sains untuk melakukan kerja alam sekitar?
Tidak sama sekali. Banyak disiplin seni dan kemanusiaan lain yang tidak ternilai dalam sektor ini. Contohnya, Macaranga ialah portal kewartawanan yang mengetengahkan isu alam sekitar dan kelestarian di Malaysia. Keupayaan reka bentuk grafik amat diperlukan dalam membangunkan kandungan media sosial yang menarik untuk mendidik dan memberi maklumat kepada orang ramai.
Pakar undang-undang alam sekitar juga penting untuk litigasi, hal berkenaan hak tanah orang asli atau pencemaran sumber asli. Pakar sains politik atau pakar dasar awam melibatkan kerajaan dan syarikat untuk meneruskan agenda alam sekitar. Ahli ekonomi alam sekitar menggunakan prinsip ekonomi untuk pembangunan dan pengurusan sumber yang terhad. Mereka juga membolehkan perbincangan ringgit dan sen bersama pihak kerajaan dan pihak syarikat. Peluang luas terbentang!
Adakah kerjaya dalam kerja alam sekitar memerlukan tahap pendidikan yang tinggi?
Tidak mustahil jika anda ingin membina kerjaya dalam kerja alam sekitar tanpa pendidikan tinggi. Sebagai contoh, Adzmin Fatta, pengurus program di Reef Check Malaysia dan pengasas bersama Green Semporna, hanya menamatkan pendidikan sekolah menengah (baca kisahnya di komik ini).
Beliau bermula dengan bekerja bersama sebuah organisasi terkenal, WWF Malaysia. Kekurangan ijazah kolej tidak banyak menghalang kerjayanya. Namun menurutnya, masih banyak NGO yang lebih gemar mengambil calon yang berkelulusan ijazah. Oleh itu, walaupun kelayakan pendidikan tinggi bukanlah segala-galanya dalam prospek pekerjaan seseorang dalam kerja alam sekitar, namun pendidikan tinggi juga memberi kelebihan kepada seseorang.
Semua perbincangan tentang krisis iklim ini membuatkan saya cemas, marah, dan sedih. Adakah saya akan sentiasa mengalami tekanan emosi dengan kerja alam sekitar?
Kami akui: kesusahan, kemarahan dan berputus asa memang akan berlaku pada mereka yang bekerja dengan alam sekitar pada tahap yang berbeza-beza.
Kesan psikologi ketakutan terhadap ‘kemusnahan alam sekitar’ telah didokumenkan dalam tinjauan terhadap 10,000 orang muda di 10 negara. Peratusan tertinggi responden yang melaporkan berasa ‘sangat bimbang’ atau ‘tersangat bimbang’ dengan perubahan iklim adalah dari Filipina (84%), India (68%) dan Brazil (67%) —yang juga merupakan negara yang paling teruk terjejas kerana perubahan iklim.
Ketika ditanya bagaimana mereka menangani emosi sedemikian, beberapa ahli muda alam sekitar di Malaysia berkata sokongan yang diperoleh daripada rakan dan mentor rapat membantu mereka melalui masa-masa sukar.
Satu lagi cara adalah dengan membahagikan krisis alam sekitar yang besar kepada bahagian yang lebih kecil. Sebagai contoh, mengatasi masalah mengehadkan pemanasan global di seluruh dunia pada tahap maksimum 1.5°C adalah hampir mustahil. Namun menjalankan program 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) di kawasan kejiranan tempatan adalah lebih munasabah.
Ada juga yang berjaya mengubah kemarahan dan kebimbangan mereka menjadi tindakan. Berita baiknya ialah seramai 90% orang muda di Malaysia amat yakin dengan kebolehan mereka untuk melakukan perubahan berkaitan perubahan iklim, menurut Tinjauan Perubahan Iklim Belia Kebangsaan Malaysia oleh UNDP dan UNICEF.
Namun, jika anda mengalami emosi kesusahan yang melampau atau mempunyai keinginan membunuh diri, sila hubungi Befrienders Malaysia di +603-76272929 secara percuma atau e-mel mereka di sam@befrienders.org.my. Talian telefon mereka dikendalikan sepanjang masa, 24 jam sehari oleh sukarelawan terlatih yang bersedia untuk mendengar dan memberikan sokongan.
Anda juga boleh menghubungi Buddy Bear, yang menyokong kanak-kanak dan remaja yang mengalami tekanan emosi. Mereka dapat dihubungi di nombor bebas tol 1800-18-2327(BEAR) setiap hari, dari 12 tengahari hingga 12 malam.