Soalan panas... terjawab

Keliru? Kami menjawab soalan lazim ditanya oleh belia apabila memulakan tindakan alam sekitar, dan menjelaskan beberapa mitos sepanjang perjalanan ini.

Alamak! Tetapi saya hanya seorang anak muda. Bagaimana saya boleh bantu menangani isu yang begitu besar?

Amat normal untuk berasa kecil. Krisis alam sekitar ialah satu isu raksasa. Ada sesetengah individu yang berpendapat bahawa tindakan individu tidak membawa makna. Hakikatnya, kebanyakan pelepasan gas rumah hijau dunia datang daripada syarikat besar. Ini benar. Syarikat mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi isu ini, tetapi kita sebagai pengguna tidak terlepas daripada masalah ini. Kita juga membayar untuk produk dan perkhidmatan syarikat-syarikat ini.

Hakikatnya, tindakan individu amat penting. Secara kolektif, kita boleh mencetuskan gelombang perubahan! Tinjauan Perubahan Iklim Belia Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa sembilan daripada 10 orang belia di Malaysia sudah mengambil tindakan peribadi untuk menangani perubahan iklim, termasuk mengitar semula, menanam pokok, mengurangkan penggunaan elektrik, dan beralih kepada pemakanan berasaskan tumbuhan.

Usah pandang rendah akan tindakan ini. Melalui kepimpinan melalui teladan, anda secara beransur-ansur boleh menggalakkan keluarga dan rakan anda untuk mengamalkan tabiat hijau yang serupa. Mereka pula boleh mempengaruhi orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Dengan masa, bayangkan kesan riak daripada tindakan peribadi anda!

Anda juga boleh memberi sumbangan tambahan dengan menjadi sukarelawan atau dengan bekerja untuk organisasi alam sekitar. Hubungilah pemimpin belia alam sekitar yang lain untuk belajar daripada mereka dan dedahkan diri anda kepada lebih banyak peluang dalam bidang ini. Berikanlah bantuan untuk mengurangkan kebimbangan iklim. Anda ingin mencari mereka? Mulakan dengan direktori organisasi alam sekitar YELL dan pemimpin belia alam sekitar!

Saya belum 100% hijau lagi. Adakah saya akan menjadi hipokrit untuk melibatkan diri dalam kerja alam sekitar?

Melakukan perkara yang anda boleh lakukan adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa sama sekali. Tiada sesiapa pun yang benar-benar mesra alam, termasuklah ahli alam sekitar yang berpengalaman.

Namun, setiap langkah yang anda lakukan dan cabaran yang anda hadapi dalam mengurangkan jejak karbon membolehkan anda membina pemahaman tentang realiti kerja alam sekitar dan masalah yang perlu diselesaikan. Penyertaan dalam program alam sekitar juga dapat membimbing anda tentang cara untuk melakukan lebih banyak lagi, dengan berkesan!

Tetapi bagaimana orang muda boleh membuat perubahan? Kami tidak dibenarkan bersuara dalam memutuskan dasar negara atau penyelesaian alam sekitar.

Sedih tetapi benar. Golongan muda sebahagian besarnya dikecualikan daripada perbualan mengenai dasar dan penyelesaian iklim. Kanak-kanak juga sering diletakkan sebagai mangsa perubahan iklim, bukan sebagai pihak berkepentingan yang mempunyai tempat di meja membuat keputusan.

Namun begitu, belia mempunyai potensi untuk memberi impak yang besar. Di Malaysia, belia menyumbang 43% daripada populasi negara. Mereka ialah generasi yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim. Ini bermaksud mereka berhak menjadi suara lantang bagi memerangi perubahan iklim.

Sejak 2018, aktivis remaja terkenal dunia Greta Thunberg telah menunjukkan contoh bahawa golongan muda boleh membawa momentum yang kuat untuk memberi tekanan terhadap tindakan iklim. Bantahan beliau di hadapan parlimen Sweden telah berkembang menjadi Mogok Iklim Global yang melibatkan berjuta-juta individu.

Malah, pada 2019, Thunberg yang berusia 16 tahun telah mengecam pemimpin dunia pada sidang kemuncak iklim PBB kerana gagal menangani pelepasan gas rumah hijau. Ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk bercakap benar kepada penguasa.

Yang sering kita dengari ialah Greta Thunberg. Latar belakang bandar Eropahnya kelihatan sangat berbeza dengan saya. Adakah tindakan alam sekitar lebih tertumpu kepada orang Barat?

Tidak sama sekali! Terdapat ramai wira alam sekitar muda dari Asia Tenggara. Walaupun mereka mungkin tidak begitu diiktiraf di peringkat antarabangsa, namun mereka telah mencapai kemajuan yang mengagumkan dalam perjuangan mereka.

Salah seorang daripada mereka ialah Aroe Ajoeni, pengasas bersama Klima Action Malaysia (KAMY). Beliau mengadakan protes alam sekitar di hadapan kolejnya walaupun telah diberi amaran daripada pihak institusinya supaya berhenti. Beliau seterusnya membantu menerajui Mogok Iklim Global di Malaysia.

Sahana Kaur hanya seorang pelajar Malaysia yang berusia 17 tahun. Namun beliau telah mengasaskan Project All for All bagi memperkasa golongan muda untuk mengambil bahagian dalam penglibatan sivik dan memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Usaha beliau telah mencapai lebih 5,000 orang di seluruh dunia.

Mogesh Sababathy, seorang graduan biologi marin, mengasaskan bersama NGO pemuliharaan lautan Project Ocean Hope yang telah mencapai lebih 10,000 orang di 15 negara. Mitzi Jonelle Tan, jurucakap antarabangsa bagi Peguambela Belia untuk Tindakan Iklim Filipina, menganjurkan beberapa protes walaupun terdapat risiko besar untuk menjadi pembela hak alam sekitar di Filipina—seramai 29 orang telah terbunuh pada 2020.

Anda boleh membaca komik perjalanan dua orang pemimpin belia tempatan dan lebih banyak kisah dalam direktori YELL.