Apakah itu YELL?
Litupan ais mencair. Kenaikan paras laut. Taufan yang membinasakan. Perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar ialah isu besar. Mungkin terlalu besar.
Pada tahun 2020, laporan Change for Climate oleh UNDP dan UNICEF meninjau seramai 1,393 orang belia Malaysia dan mendapati bahawa mereka bersemangat untuk bertindak terhadap isu iklim dan alam sekitar. Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan naratif dan sumber tempatan untuk membantu golongan muda mengambil langkah pertama mereka dalam tindakan alam sekitar.
Walaupun tiada kekurangan liputan berita dan kandungan media sosial mengenai kemusnahan yang menakutkan akibat perubahan iklim, perbincangan ini sering dirangka daripada perspektif negara maju, kebanyakannya dari Barat atau Global North, yang jauh daripada konteks dan kehidupan seharian kita.
Ramai anak muda tempatan keliru di mana, atau bagaimana, mereka boleh membuat perubahan dalam komuniti mereka sendiri. Mereka sedar bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan segera namun tidak tahu di mana untuk bermula sehingga hampir membuatkan seseorang itu mahu menjerit.
Dari situlah program YELL muncul! Idea ini merupakan serampang dua mata untuk membantu belia tempatan mencari suara mereka dalam tindakan alam sekitar, dan untuk memperkasakan usaha kemampanan sedia ada dalam kalangan golongan muda.
Satu perkataan mendorong YELL: ‘Berhubung’.
Kami berusaha untuk menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa depan untuk menyediakan konteks dan rangkaian untuk mendorong tindakan anda.

Pengetahuan tradisional
Berhubung (semula) dengan akar budaya kita dan sejarah masyarakat dan tempat.

Kisah hari ini
Menerokai perkara di sekeliling kita merangkumi usaha, isu dan peluang semasa, dekat dan jauh.

Visi masa depan
Menggunakan imaginasi dan pandangan jauh untuk membentuk masa depan yang inklusif.
YELL bermatlamat untuk melahirkan naratif iklim dalam konteks tempatan dan mengukuhkan gerakan ekosistem alam sekitar, termasuk:
- Mencipta dan mengembangkan sumber untuk memberi inspirasi kepada tindakan yang sejajar dengan pengalaman hidup dan realiti tempatan
- Mempromosikan tindakan alam sekitar berasaskan tempat, mendokumentasikan usaha dan pembelajaran kelestarian dalam konteks tempatan
- Membangunkan pandangan inklusif tentang isu alam sekitar tempatan daripada pelbagai kumpulan, termasuk pengetahuan pribumi dan tradisi
- Menghubungkan golongan muda dan membina rangkaian merentas pelbagai laluan alam sekitar