Skip to main content

Blog ini ditulis oleh Mohd Aqil Zafran Bin Azizan, peserta Program Conservocation YELL.

Ikuti blog Aqil untuk mengetahui pengalamannya sebagai peserta Program Conservocation YELL.
💬 Pengalaman dan Pembelajaran di Tanarimba (Bahasa Malaysia)
💬 About EduTree Services (English)
💬 Penduduk Kampung dan Pelancong di Janda Baik (Bahasa Malaysia)

Tanarimba, Janda Baik merupakan kawasan hak persendirian yang sangat luas sehingga 7000 ekar tanah. Bayangkan jika kawasan seluas itu dibangunkan bangunan kormersial dan perumahan di Janda Baik, sudah pasti banyak pokok yang terpaksa ditebang dan memusnahkan ekosistem hutan di sini. Sangat bernasib baik pemilik Tanarimba hanya menetapkan sebahagian kecil tanah disini untuk pembangunan, dan selebihnya dikekalkan hutan simpan.

Dengan adanya Tanarimba Rainforest Centre (TRC) yang digerakkan oleh EduTree, proses pemuliharaan hutan di kawasan Tanarimba dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan. Pihak pengurusan tertinggi Tanarimba sangat menyayangi alam. Dengan hanya membangunkan kawasan yang kecil sahaja dan mengekalkan sebahagian besar hutan disini, pemuliharaan hutan bersama flora dan fauna di sini menjadi fokus pihak Tanarimba. Sekaligus hutan yang besar di kawasan Janda Baik terpelihara.

TRC menjadi pusat pemuliharaan di Tanarimba. © Aqil/2024
Salah satu chalet di sekitar Janda Baik. © Aqil/2024

Janda Baik ialah kawasan kampung di daerah Bentong. Kawasan ini telah terkenal sebagai pusat eko pelancongan di Malaysia. Terdapat chalet, resort serta homestay untuk pengunjung yang berkunjung ke sini. Kawasan yang dulunya penuh dengan kehijauan sudah mula berkurang disebabkan sektor pelancongan dan perladangan buah-buahan dan sayur sayuran yang semakin rancak. Maka timbul ketidak selesaan, kegusaran dan kekecewaan dikalangan penduduk disini.

“Sungai sudah kurang bersih, hutan pun banyak yang ditebang”

— Salah satu keluhan penduduk tempatan yang melihat perkembangan pelancongan dan perladangan di Janda Baik.

Sungai yang menjadi tempat pengunjung berekriasi di Janda Baik. © 2024/Aqil
Ladang sayur di atas bukit di Janda Baik. © 2024/Aqil

Kegusaran penduduk tempatan sedikit terubat dengan usaha pihak Tanarimba dan EduTree. Rata-rata apabila saya bersembang dengan penduduk Janda Baik dan pelancong yang datang ke sini, berasa gembira dengan initiatif pihak Tanarimba, EduTree, Jabatan Perhutanan Bentong yang sangat mencintai alam dan melakukan pemuliharaan alam dan hutan di sini. Pembangunan yang terlalu banyak disebabkan pelancongan perlu diuruskan dengan baik supaya kecantikan sungai, hutan dan alam sekitar di Janda Baik dapat dipelihara untuk masa hadapan.

Ladang sayur di atas bukit di Janda Baik. © Aqil/ 2024
Pelancong yang berkunjung ke Tanarimba, Janda Baik menikmati alam semulajadi di sini. © Aqil/ 2024

Sewaktu bersembang dengan beberapa pelancong yang datang ke Tanarimba dan Janda Baik, mereka meluahkan rasa betapa tenangnya berada di kawasan yang banyak kehijauan dan udara nyaman. Rata-rata pelancong yang datang dari Lembah Klang dan Kuala Lumpur meluahkan rasa gembira apabila datang ke Janda Baik dan berharap hutan dan alam sekitar di kawasan ini dapat dijaga dengan baik walaupun dikunjungi ramai pelancong. Kemajuan untuk pelancongan mestilah selari dengan penjagaan alam sekitar dan hutan di sini. Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan seharusnya berterusan demi menjaga alam sekitar di Janda Baik.