Skip to main content

Blog ini ditulis oleh Madeline Jison, peserta Program Conservocation YELL.

Ikuti blog Madeline untuk mengetahui pengalamannya sebagai peserta Program Conservocation YELL.
💬 Cerita Saya bersama YELL dan TONIBUNG
💬 Pengalaman di Ulu Papar, Sabah
💬 Solar Off-Grid untuk Komuniti Kampung Timpayasa

Sepanjang tempoh 6 bulan saya di TONIBUNG, saya banyak bekerjasama dengan komuniti di Ulu Papar daerah Penampang, Sabah. Ulu papar terletak di Rizab Biospera banjaran crocker dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan 4 roda dan trekking melalui salt trail. 7 kampung ini didominasi oleh suku kaum Dusun; Terian, Timpayasa, Tiku, Buayan, Pongobonon, Kalanggaan dan Longkogungan. 

Untuk sampai ke kampung-kampung tersebut, kami perlu melalui jalan off-road yang mencabar. Pada masa ini, 7 kampung sudah mempunyai jalan off-road tetapi memerlukan kenderaan pacuan 4 roda yang diubahsuai untuk sampai ke kampung. Jika musim hujan, ada jalan yang sangat sukar untuk dilalui dan memerlukan kepakaran untuk mengawal kenderaan.

Kami menghantar bahan-bahan binaan untuk Socio-Economic centre Kg Timpayasa di Ulu Papar. © Madeline/2023
Sungai tidak boleh dilalui kerana air sungai besar. © Madeline/2023
Kudil (21) sedang memikul freezer melalui jambatan gantung dari jalan utama. © Madeline/2023
  

7 kampung ini juga mempunyai banyak jambatan gantung. Jambatan gantung merupakan kemudahan awam yang penting di kampung sebagai penghubung mereka ke Seberang Sungai untuk ke jalan utama dan ke kebun mereka. Jambatan gantung yang tergantung tinggi bukan untuk mereka yang gayat. Ada jambatan gantung yang tidak diselenggara sudah hilang tapak untuk dipijak seperti kayu dan hanya rangka-rangka BRC yang tinggal. Sudah pasti lutut bergegar dan banyak melafazkan doa sepanjang melalui jambatan gantung tersebut. Bagi orang kampung semua ini adalah perkara biasa dalam kehidupan mereka.

Jambatan Gantung di Kampung Timpayasa. © Madeline/2023
Remaja-remaja mempunyai skill untuk menjala ikan. Berita baik untuk menjaga amalan tradisi. © Madeline/2023

Sumber utama komuniti di Ulu Papar ialah hutan dan sungai. Hutan dan sungai di sana kaya dengan flora dan fauna. Di hutan, mereka boleh memburu, mengambil tumbuh-tumbuhan bermanfaat dan membuka kawasan hutan untuk pertanian. Pertanian utama di kampung-kampung tersebut ialah penanaman pokok getah, padi, ubi kayu dan tembakau. Sungai-sungai di Ulu Papar yang dijaga (gompiguno) dengan baik mengandungi banyak ikan sebagai sumber protein mereka.

Padi merupakan tanaman utama bagi 5 kampung di Ulu Papar. Mereka menanam padi setiap tahun, sama ada padi sawah atau padi bukit. Dengan peningkatan harga beras setiap tahun, komuniti di kampung Ulu Papar tidak terasa kerana mereka mempunyai bekalan beras yang banyak. Hasil tuaian padi boleh bertahan sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum musim menanam padi bermula .

Sawah padi di Kampung Kalanggan.  © Madeline/2023

Terima kasih kepada Madeline kerana berkongsi pengalamannya di Ulu Papar. Baca blog seterusnya: Cerita Saya bersama YELL dan TONIBUNG dan Solar Off-Grid untuk Komuniti Kampung Timpayasa.